ikLaN nuFFnaNg

geNg bLoggeR (",)

20 September 2011

ikHLaskaH kiTa beRmaaF-MaaFaN

"Selamat Hari Raya. Maaf zahir batin"

Itu adalah ucapan yang begitu sebati dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri di negara ini. Ia begitu membudaya dalam sambutan Hari Raya kita sehingga kadangkala ungkapan "Maaf zahir batin" itu tidak lagi memberi kesan apa-apa pada diri pengucapnya mahupun pada diri orang yang ditujukan ucapan itu.

Akibatnya, seminggu selepas 1 Syawal, salah laku dan salah kata terus berlaku di antara dua pihak yang saling bermaafan di pagi raya. Orang yang memohon maaf masih mengulangi kesilapannya, manakala orang yang memberi maaf pula, terus mengungkit-ungkit kesalahan orang yang memohon maaf daripadanya. Mengapa ini boleh berlaku?

Perkara ini berlaku kerana permohonan maaf dan pemberian maaf itu telah dilakukan secara sambil lewa, tanpa keikhlasan mahupun kesedaran dalam hati mana-mana pihak. Perbuatan saling bermaafan itu dilakukan hanya kerana 'masa'nya telah tiba, dan bukan kerana keinsafan serta kemahuan untuk mensucikan diri, mahupun untuk memaafkan orang lain.

Amat malang sekali bila permohonan dan pemberian maaf – sesuatu yang amat dituntut – hanya menjadi satu budaya dan bukannya dihayati dengan semangat yang sebenarnya.
Perbuatan memaafkan kesalahan orang lain amat dituntut oleh agama Islam sehingga ia dijanjikan dengan ganjaran yang begitu besar sekali. Ini jelas dalam Surah Ali-Imran, ayat 134.
 Begitu juga, orang yang memohon maaf di atas kesalahan yang telah dilakukan, mereka ini juga dijanjikan syurga oleh Allah di akhirat kelak (Surah Ali-Imran, ayat 135-136).

Jelas bahawa perbuatan memohon maaf dan memberi maaf adalah perbuatan mulia yang dianjurkan oleh agama Islam. Ia wajib dan dianugerah pahala pula bila dilafazkan dan diamalkan. Maka, mengapa tuntutan semulia ini kita amalkan secara sambil lewa sahaja?

Bagaimanakah sebenarnya cara untuk kita memohon dan memberi maaf? Kepada pemohon maaf, ungkapan memohon maaf itu hendaklah dilaksanakan dengan ikhlas, rendah hati, penuh rasa kesal terhadap apa yang telah dilakukan serta niat untuk tidak mengulanginya lagi. Manakala kepada pemberi maaf, kemaafan yang diberi perlulah diberi dengan tulus ikhlas, dengan penuh sedar untuk melupakan kesalahan tersebut dan tidak lagi mengungkit-ungkit tentangnya.

Ada yang mengatakan bahawa ketika memohon maaf kita perlu menyenaraikan segala kesalahan yang telah kita lakukan supaya pihak satu lagi maklum tentangnya dan boleh mempertimbangkan sama ada dia akan memaafkan atau tidak.
Kemenangan

Namun, dalam semangat Hari Raya Aidilfitri ini, bila mana kita meraikan kemenangan melawan hawa nafsu selama sebulan, mengapa tidak kita buka hati kita untuk memaafkan sahaja segala silap dan salah orang itu? Tentunya kita juga ada salah dan silap yang jika mahu disenaraikan akan mengambil masa yang lama.
Maka, mengapa tidak kita maafkan sahaja dosa orang yang memohon maaf daripada kita? Ingatlah perintah Allah dalam Surah al-A'raf, ayat 199 yang menuntut kita agar memilih untuk memaafkan.

Sebenarnya, memohon maaf dan memberi maaf bukanlah sukar untuk dilaksanakan dalam bulan Syawal ini setelah kita melengkapkan ibadat puasa selama sebulan. Sesungguhnya ibadah puasa telah mendidik kita untuk melawan hawa nafsu dan mengembalikan diri kita kepada fitrahnya yang suci bersih.

Jiwa yang suci bersih adalah jiwa yang bebas daripada sifat bangga diri, sebaliknya kaya dengan sifat pemurah dan berlapang hati. Ini memudahkan kita untuk mengakui kesilapan diri, memohon maaf dan memaafkan orang lain. Maka, manfaatkanlah Aidilfitri ini ke arah itu dan sucikanlah dosa sesama insan dengan penuh tulus ikhlas.

Bila kita telah saling bermaafan, tiada lagi rasa benci dan dendam. Apa yang lahir ialah rasa kasih sayang dan persefahaman yang sekiranya dijana dengan baik, dapat menghasilkan satu permuafakatan yang bakal menguntungkan ummah.

No comments: